Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.

[ 018 : 110 ]

Friday, April 30, 2010

Kesalahan 5 : Nak Azan, Mari Kita Tidur™


1 jam sebelum azan : Nak tidurlah sekejap. Sekejap lagilah. Semak Facebook sekejap kalau-kalau ada orang hantar mesej.

55 minit sebelum azan : Masih dengan Facebook. Sikit lagilah, 30 minit sebelum azan baru tidur.

30 minit sebelum azan : Sedang asyik balas mesej.

5 minit sebelum azan : "Sudah dekat azan ni, baik aku cepat-cepat tidur, kalau tidak letih nak solat."

Azan : Masih tidur. Tak ke Masjid untuk solat jemaah.

Dekat Azan solat berikutnya : Masih tidur.

Azan solat berikutnya : Masih tidur.

Ini adalah realiti bagi sesetengah orang dalam kehidupan. Jika seseorang benar-benar cintakan Allah, jadualnya sangat teratur dan tidak seperti ini.

Kesalahan yang mungkin dilakukan jika jadual tidak terancang:

1. Melengahkan solat.
2. Tidak ke masjid untuk solat jemaah.
3. Meninggalkan solat.

Sabda Nabi SAW

(سيل النبي صلى الله عليه وسلم أي الأعمال أفضل , قال الصلاة لأول وقتها (رواه الترمذي

.Ertinya : Ditanya Nabi SAW , apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu

( Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud, Albani : Sohih)

Wallahu A'lam.

Saturday, April 17, 2010

Kesalahan 4 : Taubat Burger Keju™


Setiap manusia melakukan kesalahan. Sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah yang bertaubat. Taubat adalah kembali kepada Allah setelah melakukan maksiat. Taubat marupakan rahmat Allah yang diberikan kepada hamba-Nya agar mereka dapat kembali kepada-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud :

[Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.]

[ 49 : 11 ]

3 Syarat bertaubat :

1. Mestilah menyesali perbuatan-perbuatan dosanya.
2. Menghilangkan segala keinginan berbuat dosa.
3. Benci untuk kembali kepada kemaksiatan (menyesali kelengahan taubatnya).

Kesalahan yang sering dilakukan adalah taubat burger keju. Bertaubat tetapi masih seronok melakukan maksiat. Umpamanya hari ini seseorang telah bertaubat atau menyesal memakan burger keju kerana boleh menggemukkan. Dalam masa yang sama hatinya masih teringin sekali hendak makan burger itu lagi kerana burger tersebut amat sedap.

Sepatutnya taubat itu seperti ini : seseorang termakan tahi ayam, selepas tiu dia tidak ingin sekali memakannya lagi ataupun menghampirinya.

Wallahu A'lam.

Friday, April 9, 2010

Kesalahan 3 : Meninggalkan Solat™


Solat adalah ibadah khusus dalam Islam. Ibadah khusus yang wajib setiap muslim kerjakan sebanyak 5 kali sehari. Sebanyak 17 rakaat sehari. Dalam Islam terdapat juga solat sunnah. Rasulullah dalam hidupnya banyak mengerjakan solat sunnah. Rasulullah seorang yang diampuni dosanya oleh Allah dan dijamin syurga kepadanya pernah bersoalt sehingga bengkak kakinya. Apabila ditanya oleh isteri baginda kenapa baginda beribadah sebegitu sedangkan baginda dijamin syurga. Baginda menjawab dengan pertanyaan penyata. Buaknkah aku ini hamba yang bersyukur?

5 waktu solat yang wajib ini perlulah dikerjakan dengan khusyuk oleh setiap muslim.

[ Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). ]

[ 107 : 1 - 7 ]

Jika diperhatikan dalam dunia hari ini, kehidupan manusia jauh daripada landasan syariat. Dunia hari ini, manusia mengejar dunia bukan mengejar Allah. Manusia tidak beriman kepada Allah tetapi beriman kepada sains seperti yang Muhammad Qutb nyatakan dalam kitabnya, Salah Faham Terhadap Islam. Anak-anak muda tidak di ajar ilmu fadhu ain, tetapi ibu bapa terkejar-kejar mencari duit untuk menghatar anak-anak ke sekolah untuk belajar ilmu dunia.

Astaghfirullah.

Kembali kepada persoalan solat, manusia hari ini amat memandang ringan akan solat. Kerajaan, masyarakat, keluarga dan individu semuanya memandang kesalahan meninggalkan solat sebagai kesalahan yang ringan. Di negara kita, dadah yang tidak najis dan ada masanya halal digunakan itu disebut najis dadah tetapi arak yang najis dan sememangnya haram pada setiap waktu dihalalkan. Dunia di negara kita sudah terbalik dan sudah jauh tergelincir daripada landasan. Jika kita rakyat negara ini adalah kereta api, sudah lama kita hancur keran jatuh daripada landasan.

Kesalahan solat yang hukumannya dalam Islam adalah hukum bunuh (pancung) dan dosa besar yang boleh membawa kepada murtad tetapi kerajaan tidak memandang itu sebagai satu kesalahan. Rakyat juga begitu disebabkan didikan kerajaan. Pendapat saya, punca segala masalah sosial pada hari iniadalah disebabkan keimanan mereka sudah luntur. Antara sebab lunturnya iman adalah kerana tidak bersolat.

Berpagi-pagi, manusia terkejar-kejar keluar rumah untuk ke tempat kerja untuk mendapat nikmat yang sementara. Mereka tidak bersolat. Lupa mereka akan azab yang akan mereka dapat demi nikmat sementara itu. Sepatutnya berpagi-pagi manusia bersiap ke masjid. Bersolat wajib dan sunnah demi pertemuan dengan Allah di syurga kelak.

Astaghfirullah.

Wallahu A'lam.

Saturday, April 3, 2010

Kesalahan 2 : Melebihkan Perkara Sunat Berbanding Wajib™


Sesekali penulis mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz ada menyebut tentang orang yang melebihkan perkara sunat daripada perkara wajib. Walaupun bagus untuk melaksanakan perkara sunat, tetapi perkara wajib itulah yang pperlu didahulukan dan perkara haram yang wajib ditinggalkan adalah lebih dahulu perlu dilakukan.

Janganlah melebih-lebih melaksanakan perkara sunat tetapi perkara wajib ditinggalkan dan perkara haram tetap dibuat. Dalam negara kita, Malaysia banyak penulis perhatikan perbuatan umat Islam yang terikut-ikut melaksanakan perkara sunat seperti itu adalah perkara wajib. Ramai juga yang meninggalkan perkara wajib seperti itu adalah perkara makruh. Ramai juga yang melakukan perkara haram seperti itu adalah perkara sunat. Berikut antara amalan yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang.

1. Kain kafan berwarna putih adalah sunat tetapi ia seperti wajib di Malaysia. Pakaian baju kebaya ketat adalah haram tetapi ia seperti harus di Malaysia. Wajib tidak memakai pakaian kebaya itu, tetapi tidak dilakukan, tetapi sunat kain kapan berwarna putih tetapi seakan diwajibkan.

2. Orang sering menjemput orang ramai untuk membaca Yasin di rumah mereka. Selepas itu di jamu dengan juadah. Terjadilah sedekah. Sedekah adalah sunat. Orang yang mengajak itu sehari-hari berbaju ketat, tidak bertudung. Si suami pula sehari-hari solatnya tidak. Tengok, perkara sunat dibudayakan tetapi perkara haram juga dibudayakan. Perkara wajib ditinggalkan.

3. Merokok dan melihat aurat adalah haram. Berjubah dan berserban pula adalah sunat. Meninggalkan perkara yang haram adalah wajib. Melakukan perkara sunat itu tidak wajib. Ada orang yang penulis perhatikan, berjubah dan berserban tetapi merokok dan menonton cerita bersiri korea. Yang wajib dilakukan tidak dilakukan tetapi yang sunah beria-ia dilakukan.

Banyak lagi perbuatan-perbuatan yang sering dilakukan tetapi penulis rasa tiga ini cukup untuk menjelaskan mengenai topik ini.

Kesimpulannya, melakukan perkara sunat itu digalakkan tetapi jangan ditinggalkan perkara wajib. Jadi, laksanakanlah perkara sunat seiring yang wajib.

Wallahu A'lam.